PENGGUNAAN batu dalam membentuk landskap taman akan memberi impak yang mendalam terhadap fungsi taman berkenaan. Meletakkan batu pada taman akan menampilkan suasana berbeza, taman lebih hidup, bermaya dan menimbulkan suasana alam semula jadi.
Setiap orang ada cara tersendiri mendapatkan batu untuk menghias taman sama ada dijadikan tangga, tempat laluan atau diletak di keliling pokok hiasan.
Ada yang rajin mengutipnya dari segenap tempat seperti di sungai, tetapi cara itu memakan masa lama untuk dikumpulkan. Tambahan pula batu yang dikumpul mungkin saiznya tidak sama.
Bagi yang berkemampuan, anda boleh mendapatkannya daripada pembekal atau pengusaha landskap. Telefon beberapa pengusaha untuk mendapatkan senarai harga yang berpatutan.
Tanyakan juga jenis batu yang mereka miliki dan kesesuaiannya. Kebaikannya, batu tidak perlu disiram, dicantas, bentuknya kekal dan tidak akan mati.
“Bagi taman kecil, anda boleh memilih batu bulat kecil diletakkan di atas seketul batu bulat lebih besar. Untuk kesan lebih cantik, tanamkan pokok hiasan berdaun tirus panjang di sekelilingnya atau pada satu bahagian saja.
“Anda juga boleh meletakkan batu kecil dalam pasu bulat leper untuk menghias taman. Pastikan di sekeliling pasu itu ditanam pokok hiasan yang cantik, berbunga dan berwarna-warni,” kata Eksekutif Jualan Yash Enterprise (M) Sdn Bhd, Kum Hoe Wan.
Jika berminat meletakkan batu pada sempadan halaman, katanya, pastikan permukaan lebih lebar diletakkan di bawah. Untuk menguji kestabilannya, anda boleh pijak atau berdiri di atas batu yang sudah disusun, supaya kedudukannya tidak berubah jika hujan lebat.
“Jika batu bergoyang, korek sedikit tanah di bawahnya supaya kedudukan batu lebih teguh dan stabil. Anda juga boleh meletakkan sisi batu yang lebih kecil te tapi ia mungkin membahayakan jika kanak-kanak berdiri di atasnya,” katanya.
Ada juga meletakkan batu besar yang boleh dijadikan meja. Berhati-hati ketika meletakkannya supaya batu itu tidak bergolek. Tanam `kaki’ batu dalam sedikit supaya kedudukannya teguh seperti kedudukan asalnya (keadaan semula jadi).
Batu yang dijadikan hamparan laluan biasanya kasar dan besar. Bagaimanapun untuk lebih selamat, perlu dicantumkan dengan simen. Dapatkan nasihat profesional untuk hasil yang lebih memuaskan.
Batu bentuk dan saiz tidak sekata paling cantik untuk dijadikan anak tangga.Tetapi perlu pastikan tiada bucu tajam yang mungkin boleh melukakan kaki.Untuk membuatnya, batu perlu ditanam dalam (tinggalkan beberapa sentimeter saja di permukaan bumi).
Rumput senang tumbuh di celah batu, pastikan rumput terjaga dan tidak dibiarkan panjang.
Batu kerikil atau batu bundar kecil boleh menaikkan seri taman dengan menabur batu itu secara sekata di sekeliling perdu pokok. Bagi yang lebih kreatif, anda boleh mengecat batu-batu itu untuk kesan yang lebih cantik dan unik.
Selain mencantikkan taman, batu juga berperanan menyerap dan membalikkan sinar matahari yang membuatkan ia sesuai diletakkan di taman redup atau kawasan tanpa pokok besar
Cara hias laman
LAMAN yang cantik dan teratur dapat menyejukkan mata dan memberi ketenangan kepada pemilik. Pelbagai cara boleh dilakukan untuk disesuaikan dengan keadaan kawasan sama ada laman rumah kampung atau bandar. Antara cara menghias halaman rumah anda.
1. Rumput boleh juga ditanam selain laluan bersimen yang berselang seli untuk menghiasi halaman. Antara jenis rumput yang cantik ialah rumput turf kerana selain menaikkan seri taman, ia berfungsi menstabilkan tanah, merendahkan suhu persekitaran, menyerap gas tercemar dan menjadi alas menutup bumi yang boleh menghalang hakisan tanah. Rumput jenis tikar seperti Axosnospus Compressus juga sesuai ditanam di halaman kerana ia sesuai hidup pada semua jenis tanah dan tahan pijakan.
2. Bagi rumah yang tiada halaman luas, penggunaan bunga secara berpasu lebih sesuai. Pastikan anda memilih pokok jenis berbunga supaya nampak berwarna-warni untuk menimbulkan suasana ceria. Tanaman yang digantung juga sesuai untuk rumah yang mempunyai keluasan halaman yang kecil. Selain itu pondok kecil dan bangku kayu juga boleh didirikan untuk kemudahan anak-anak dan tetamu.
3. Untuk nampak lebih indah dan nyaman gunakan kombinasi batu, pasir, binaan simen dan tanaman hijau di sekitar rumah. Ia boleh mengelakkan air bertakung atau terpercik ke dinding rumah. Bina kolam kecil untuk dijadikan hiasan. Bela ikan supaya lebih menarik dan menjadi tarikan kepada kanak-kanak.
4. Tanaman berpagar juga sesuai ditanam untuk memagari rumah seperti buluh yang disusun secara dua lapis. Tetapi pastikan ia dicantas rata supaya menimbulkan kesan lebih menarik dan dramatik.
5. Khususkan sedikit ruang di halaman rumah untuk dijadikan taman mini yang menggabungkan pelbagai jenis bunga dan rumput.
6. Bagi rumah di kawasan kampung, tanam secara barisan bunga-bungaan yang menjalar mengelilingi rumah. Sebaiknya gunakan tanaman tidak berbunga.
Oleh Norakmah Mat Youb